Kerajaan Sarawak akan melaksanakan program bantuan kesihatan warga emas bermula 1 Julai 2024 : Info penuh disini!

Kerajaan Sarawak akan melaksanakan program bantuan kesihatan warga emas bermula 1 Julai 2024 : Info penuh disini. Sebanyak 88 klinik swasta di Sarawak telah bersetuju untuk menyertai skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB), yang akan dilaksanakan kerajaan negeri mulai 1 Julai ini. Ketahui lebih lanjut mengenai bantuan semasa melalui laman web Bantuan Kerajaan.

 

BANTUAN KESIHATAN

BANTUAN KESIHATAN WARGA EMAS DIBERI SOKONGAN

 

Dilaporkan sebanyak 88 klinik swasta di seluruh Sarawak telah menunjukkan sokongan dengan bersetuju untuk menyertai inisiatif Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) yang dikatakan akan siap dilaksana kerajaan negeri bermula 1 Julai depan.

 

Menurut Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah, program SCHB ini adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan bantuan kesihatan yang akan dapat dimanfaatkan oleh warga emas kategori B40 dan M40 dengan had kadar bantuan sebanyak RM500.

 

Melalui inisiatif ini katanya, boleh mengurangkan kesesakan orang ramai berkumpul di hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan dan sedikit sebanyak hospital kerajaan juga dapat memberi tumpuan kepada kes kecemasan.

 

“Menerusi langkah ini, kementerian akan bekerjasama dengan klinik swasta yang akan menjadi klinik panel di bawah SCHB.

 

“Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah meninjau klinik-klinik di seluruh Sarawak dan setakat ini, sejumlah 88 klinik bersetuju untuk menyertai inisiatif tersebut. Kita juga berharap lebih banyak klinik swasta akan ikut serta dalam SCHB ini,” kata Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah demikian pada sidang media mengenai SCHB di bilik mesyuarat Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) di Bangunan Baltulmakmur, Petra Jaya, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemohon SCHB mestilah warganegara Malaysia yang merupakan pemegang kad pengenalan berstatus ‘K’, berumur 60 tahun ke atas, pendapatan isi rumah bulanan RM7,000 ke bawah serta tidak menerima sebarang pembiayaan lain daripada agensi lain.

 

Jelasnya, melalui SCHB, warga emas yang layak boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan pesakit luar di klinik swasta (pengamal am) untuk masalah kesihatan seperti demam dan selesema, sakit kepala, cirit-birit dan muntah, terseliuh, kerengsaan kulit ringan (alergik/gatal), gout, trauma ringan seperti luka ringan dan lain-lain.

 

“Manakala di klinik gigi, warga emas boleh mendapatkan perkhidmatan seperti cabutan, tampalan, gigi palsu dengan caj minimum pembuatan gigi palsu berjumlah RM250 dan kesemua perkhidmatan juga hendaklah tidak melebihi RM500 yang diperuntukkan,” katanya. 

 

Perkhidmatan SCHB bagaimanapun katanya, tidak termasuk rawatan susulan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) rutin seperti darah tinggi, kencing manis, rawatan susulan bagi penyakit kronik, rawatan estetik untuk kecantikan dan penggunaan ambulans.

 

“Juga tidak dibenarkan saringan kesihatan yang memerlukan sampel untuk dihantar ke ujian makmal dan Tele Perubatan/Tele Medicine ataupun perkhidmatan penjagaan kesihatan maya.

 

“Pesakit ataupun warga emas mesti hadir secara fizikal untuk mendapatkan konsultasi dan rawatan di klinik,” jelasnya. 

 

Dato Sri Fatimah Abdullah dalam pada itu memaklumkan SCHB akan dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Hari Sarawak yang akan diadakan di Bintulu pada 22 Julai 2024. 

 

Bagaimanapun, beliau berkata sistem SCHB akan dilancarkan pada 1 Julai 2024 dan kumpulan sasar boleh menyemak kelayakan masing-masing atau memohon secara dalam talian dengan mengklik bahagian SCHB di portal sarawak.gov.my.

 

Menurut rekod, SCHB akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama bermula pada Julai 2024 dan akan memanfaatkan seramai 91,667 warga emas dalam kumpulan B40 dan M40.

 

Sumber : Utusan Borneo

 

Leave a Comment