Permohonan MRSM bagi tingkatan 1 dan 4 sesi 2025 kini dibuka mulai 6 Ogos hingga 6 September 2024.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempelawa calon yang berkelayakan untuk menyertai Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM) yang menawarkan pelbagai program berteraskan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa.
Mengenai MRSM
Penubuhan MRSM adalah selaras dengan matlamat dan keperluan negara dalam menyediakan kemudahan pelajaran peringkat menengah dalam bidang sains dan teknologi kepada pelajar bumiputera yang cerdas dan berpotensi tinggi.
Kerajaan mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke MRSM tanpa mengira aliran sekolah, selaras dengan konsep ‘Malaysia Madani’ hari ini.
Jenis Program Ditawarkan di MRSM
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi teras dalam sistem pendidikan MRSM untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, inovatif, dan berintegriti. Terdapat enam program di MRSM:
- Premier: Mengintegrasikan kurikulum kebangsaan dan MARA.
- Ulul Albab: Gabungan STEM dengan program aliran agama termasuk Tahfiz Al-Quran.
- IGCSE: Menawarkan dua sijil iaitu Cambridge IGCSE dan SPM yang berteraskan STEM.
- IB MYP: Mengintegrasikan kerangka IB MYP yang berteraskan STEM.
- Teknikal: Menerapkan elemen teknikal berteraskan STEM melalui matapelajaran Sains Kejuruteraan.
- PKP: Mengaplikasikan pembelajaran pintar cerdas dan pembangunan bakat pelajar yang berteraskan STEM.
Baca Juga : Jumlah Bayaran STR Fasa 3 Mengikut Kategori Penerima
Cara Permohonan MRSM 2025
Permohonan boleh dibuat secara atas talian di laman web rasmi MARA mulai 6 Ogos hingga 6 September 2024. Calon disaran merujuk dahulu Buku Panduan Permohonan MRSM sebelum menghantar permohonan.
Berikut adalah langkah-langkah permohonan:
- Layari laman web rasmi MARA.
- Klik pada Permohonan Tingkatan 1 atau Permohonan Tingkatan 4.
- Daftar pengguna baru jika belum berbuat demikian.
- Log masuk dan lengkapkan semua maklumat yang diperlukan.
- Semak dan tandakan perakuan sebelum menghantar borang.
- Cetak borang permohonan yang telah lengkap diisi.
Syarat Kemasukan ke MRSM
- Warganegara Malaysia.
- Ibu dan/ atau bapa kandung ialah warganegara Malaysia.
- Calon memohon secara dalam talian.
- Calon yang tidak menduduki UKKM tidak akan dipertimbangkan.
- Calon sihat tubuh badan dan boleh berdikari.
- Calon lahir pada 2 Jan 2012 hingga 1 Jan 2013 (Tingkatan 1) atau 2 Jan 2009 hingga 1 Jan 2010 (Tingkatan 4).
- Ibu bapa/ penjaga tidak disenarai hitam oleh MARA.
- Keutamaan diberikan kepada pemohon dari keluarga berpendapatan rendah.
Baca Juga : Semakan Status STR Fasa 3 Bagi Pengkreditan Ogos 2024
Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM)
Semua calon wajib menduduki UKKM yang meliputi subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains, dan Keperibadian.
Untuk pemohon program Ulul Albab, Ujian Khas Ulul Albab juga disediakan. UKKM dijalankan pada hujung minggu di pusat ujian yang dinyatakan dalam sistem permohonan calon.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan permohonan, sila layari Laman Web Rasmi MRSM.
Permohonan MRSM kini di hujung jari anda, rebutlah peluang ini untuk masa depan yang lebih cemerlang!